KUALA LUMPUR – Hanya tinggal lapan hari lagi warga Malaysia beragama Hindu bakal menyambut Deepavali pada 18 Oktober ini.

Masyarakat India sudah mula sibuk membuat persiapan untuk menyambut sambutan setahun sekali yang jatuh pada bulan Aippasi’ mengikut kalendar Tamil.

Sebagai memeriahkan tetamu dan menceriahkan lagi suasana kehadiran pesta cahaya kali ini, Hotel Park Royal Kuala Lumpur semalam memperkenalkan kolam atau Colours Of Ranggoli.

Ia merupakan tahun ketiga berturut-turut dianjurkan hotel berkenaan bagi memeriahkan  suasana sambutan Deepavali,

Bagi tujuan itu, sebuah kolam burung merak telah dihasilkan di ruang lobi hotel berkenaan yang telah menarik penginap hotel sama ada tempatan mahu pun warga asing.

Kali ini, seramai lapan selebriti India tempatan dijemput untuk memeriahkan sambutan berkenaan termasuk Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Adiwiraku baru-baru ini, Sangeeta Krishnasamy dan Ketua Puteri MIC, Gunasundari.

Selain itu, selebriti lain yang hadir ialah Datin Seri Shaila Nair, Jasmine Michael, Pushpa Narayan,Thanuja Ananthan, Bala Ganapathi Williams dan Shahi Tharan.

Kesemua artis yang berpakaian sari dan menyalakan lampu pelita kutuvilakku sebagai simbolik memulakan sambutan Deepavali tahun ini.

Kolam gergasi itu dihasilkan menggunakan tepung seberat 15 kilogram dengan diadun berasama tepung berwarna warni hasil ciptaan seorang guru tadika di Shah Alam, Veleindran selama masa lima hari.

Difahamkan, bagi melukis kolam itu Veleindran mengambil masa hampir 12 jam bermula 8.30 malam pada Jumaat lalu.

Setiap lukisan disertai tepung warna warni disusun secara teliti untuk mendapatkan hasilnya yang sempurna.

“Rakan saya Jegan Naidu telah mereka kolam dengan burung merak itu mengambil masa 12 jam. Saya memilih burung merak jantan kerana ia mewakili keindahan, kelembutan, keceriaan dan ketajaman dan kita sebagai manusia perlu brsifat demikian dalam menghadapi liku-liku hidup kita.

“Manakala Pelita bernama kutuvilakku diletakkan sebagai simbol hapus kegelapan dan membawa cahaya seperti matahari menyinari dunia ini dan menyuburkan alam semula jadi.

“Itulah mesej supaya cahaya Deepavali menghapuskan sifat jahat dan menanam sikap mulia sayang menyayangi setiap insan sempena pesta cahaya kali ini,” kata Veleindran  kepada MalaysiaGazette ketika ditemui malam tadi.

Veleindran juga terlibat dalam lukisan seni kolam bersama Vijay Mayakanna Arts and Design sejak 4 tahun lalu selain berkhidmat sebagai juru runding dan pengacara program Tamil, Melayu dan Bahasa Inggeris.- MalaysiaGazette