Khairul Faizi Ahmad Kamil,

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa menerima pendaftaran keahlian baharu berjumlah 100,000 orang dalam tempoh empat tahun sehingga 15 November lalu.

Menurut Penolong Setiausaha Agungnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, jumlah itu tidak termasuk pendaftaran ahli baharu bagi Disember ini.

Katanya, pendaftaran sepanjang tahun 2014, pihaknya merekodkan seramai 19,764 ahli baharu, diikuti 41,431 orang pada 2015, seramai 23,559 (2016) dan 38,949 sehingga 15 Nivember lalu.

“Jumlah pendaftaran ahli baru Pas sejak empat tahun terakhir ini berjumlah seramai 123,703 orang tidak termasuk bulan Disember ini.

“Perkembangan ini membuktikan Pas sentiasa segar dalam masyarakat walaupun adakala dilanda konflik dan krisis dalaman, namun tidak merencatkan perkembangan parti.

“Malah rekod yang dicatatkan menunjukkan Pas terus kukuh dipersada politik tanah air,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Khairul Faizi, penumpuan terhadap pengurusan organisasi parti khususnya di bawah pentadbiran Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan turut membantu menambahkan sokongan dan dokongan masyarakat kepada Pas.

Kata beliau, usaha Pas membangunkan sistem pendaftaran keahlian di bawah Jabatan Teknologi Maklumat (IT) dan penyelarasan sistem memproses keahlian lebih sistematik turut memberikan kesan kepada perkembangan positif itu. – MalaysiaGazette