KUALA LUMPUR – AirAsia akan menambah penerbangan dari Kuala Lumpur dan Bangkok ke Kunming, ibu negeri dan bandar terbesar di wilayah Yunnan, China.

Dalam kenyataannya, AirAsia berkata, penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Kunmong akan ditambah bermula 19 Disember manakala penerbangan harian terus dari Bangkok ke Kunming akan turut ditambah kepada 14 kali seminggu bermula 19 Disember.

Bagi meraikan acara tersebut, AirAsia menawarkan tambang bersih serendah RM179 bermula sekarang sehingga 17 Disember ini.

AirAsia mula melancarkan penerbangan harian Kuala Lumpur-Kunming pada 10 Disember 2012 manakala penerbangan terus Bangkok-Kunming dilancarkan setahun selepas itu.

Setakat ini AirAsia sudah menerbangkan hampir sejuta penumpang pergi dan balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changsui, sekali gus menjadikannya syarikat penerbangan tambang murah asing terbesar dari segi kapasiti. – MalaysiaGazette