Home Dunia Suspek bom terminal bas beri amaran kepada Trump

Suspek bom terminal bas beri amaran kepada Trump

Akayed Ullah, suspek yang melakukan pengeboman di terminal bas di New York dikejarkan ke hospital sejurus selepas kejadian itu. foto Agensi

NEW YORK – Lelaki yang menghadapi tuduhan pengganas berikutan kejadian pengeboman terminal bas di New York semalam telah memberi amaran kepada Presiden Donald Trump sebelum serangan itu.

“Trump, anda gagal melindungi negara anda,” menurut kenyataan yang ditulis oleh suspek Akayed Ullah dan didedahkan dalam dakwaan yang difailkan oleh pendakwa raya persekutuan,

Pendakwa menyatakan lelaki Bangladesh berusia 27 tahun itu melakukan pengeboman yang diilhamkan oleh Kumpulan IS.

Dalam kejadian itu suspek mengalami cedera parah selepas bom buatan sendiri itu meletup ketika dia berada di Terminal Bas Pelabuhan Manhattan semasa waktu puncak. Tiga lagi individu lain dilaporkan cedera.

Jabatan Polis New York (NYPD) berkata, Ullah menghadapi tuduhan termasuk pemilikan senjata, menyokong tindakan keganasan dan membuat “ancaman keganasan”.

Tuduhan oleh pendakwa raya persekutuan yang diumumkan kemudian pada hari Selasa, termasuk menyediakan sokongan material kepada organisasi pengganas asing, menggunakan senjata pemusnah besar-besaran dan pengeboman tempat umum.

Menurut aduan persekutuan yang difailkan oleh pendakwa, Ullah mendakwa melakukan serangan itu untuk Kumpulan IS.

Beliau juga memberitahu penyiasat bahawa dia telah didorong oleh serangan udara Amerika pada sasaran IS, kata dokumen itu.

Ullah dikatakan menggunakan bahan-bahan termasuk lampu Krismas untuk membuat peranti itu dan mengikat pada padannya dengan tali Velcro.

Polis Brooklyn yang melakukan siasatan di kediaman Ullah menemui paip logam, kepingan dawai dan skru logam – konsisten dengan bahan bom yang ditemui di tempat kejadian,” kata pendakwa Joom Kim kepada wartawan.

Ullah yang berasal dari Chittagong berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 2011 dan tidak pernah memiliki rekod jenayah di negara asalnya. – MalaysiaGazette