Home Nasional Susu tiruan: KKM jalankan verifikasi

Susu tiruan: KKM jalankan verifikasi

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam menjalankan verifikasi bagi mengesahkan keselamatan makanan produk susu rumusan bayi yang disyaki menggunakan cap dagangan tiruan tersebut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, produk terlibat yang dirampas oleh KPDNKK adalah berkaitan dengan cap dagangan tiruan produk susu rumusan bayi, yang mana ianya adalah di bawah bidang kuasa KPDNKK melalui Akta Perihal Dagangan 2011.

Manakala KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bertanggungjawab bagi memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah selamat.

Katanya, sebarang susu rumusan bayi untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 389, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

Baru-baru ini KPDNKK merampas 210 kotak susu bayi yang dipercayai tiruan bernilai RM42,000 di lima lokasi berbeza di Johor Bahru.

Dr. Nor Hisham menambah, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sehubungan itu, pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – MalaysiaGazette