Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun melepaskan konvoi motosikal berkuasa tinggi pada Majlis Perasmian Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis sempena sambutan Hari Polis ke-211 di Pulapol, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Bersempena Hari Polis Ke-211 yang akan disambut Mac ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini melancarkan Program Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

Jelasnya, kembara ini bertujuan untuk menambah dana dalam TAWP bagi kegunaan bantuan hal-hal kebajikan pegawai dan anggota polis yang telah bersara termasuk tanggungan.

“Tujuan program ini adalah untuk mengumpul dana bagi menambahkan lagi dana TAWP

“Kita akan berjumpa masyarakat awam untuk menghebahkan kewujudan Tabung TAWP ini, faedah-faedah yang boleh diperolehi terutama bekas polis dan pesara-pesara polis serta ahli keluarga mereka.

“Dengan program yang diadakan ini kita berharap akan meningkatkan lagi pengumpulan dana tabung TAWP. Dalam perjalanan kembara ini nanti ada sumbangan-sumbangan yang akan diberikan oleh tokoh-tokoh koporat di kalangan peniaga kepada tabung kita,” katanya kepada pemberita sebelum melepaskan rombongan kembara itu di Pusat Latihan Polis (Pulapol) sebentar tadi.

Menurutnya, kembara ini akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dan akan menjejalah ke lima buah negeri iaitu Selangor,Perak, Pahang dan seterusnya di Negeri Sembilan.

“Kembara semua terdiri daripada pegawai kanan Polis daripada semua jabatan, seramai 50 orang tapi nanti akan bertambah (di setiap hentian) dan mungkin akan ada orang awam nanti.

“Kembara ini akan memngambil masa tiga hari dan jarak perjalanan yang akan dilalui lebih kurang 703 kilometer bermula PULAPOL hingga negeri-negeri yang saya sebutkan tadi,” tambah beliau.

Walaupun menerima dana tambahan untuk pesara polis daripada kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Januari lalu, PDRM tambah Fuzi tetap konsisten untuk berusaha memperkukuhkan dana khas TAWP ini.

“Dana kita nampaknya semakin mantap dan saya telah mengarahkan Hal Ehwal Pesara dan Jabatan Pengurusan untuk melihat perkara-perkara kebajikan yang boleh kita pertingkatkan bagi faedah pesara polis dan bekas polis seperti mana yang saya sebutkan tadi,” kata beliau.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, bermula 2014 hingga tahun lalu TAWP memperuntukan hampir RM1 juta setiap tahun.

Selain program kembara, ujar Fuzi, PDRM akan menganjurkan program larian pada masa akan datang untuk tujuan yang sama. – MalaysiaGazette