Home Seni Hidup Mark Adam kongsi kemenangan dengan pesaing

Mark Adam kongsi kemenangan dengan pesaing

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Mark Adam yang tampil menjuarai Super Bintang Bersama Bintang (SBBB) 2018 malam tadi menyerahkan RM60,000 daripada RM100,000 yang dimenanginya kepada empat pesaingnya yang turut berentap.

Seperti yang dijanjikannya sebelum ini, sejurus dinobatkan sebagai pemenang, Mark mengumumkan hasratnya memberikan RM15,000 setiap seorang kepada Achey, Ajak, Shuk dan Issey.

Malam kemuncak SBBB 2018 yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2 semalam diadili oleh Saiful Apek selaku juri tetap dan Fasha Sandha sebagai juri jemputan.

Penghakiman mereka mewakili 70 peratus manakala selebihnya undian atas talian.

Pusingan awal yang dinamakan Arena Bintang Bersama Bintang 2018 adalah medan pertandingan lawak era baharu yang menonjolkan cabaran enam peserta iaitu Ajak, Issey, Mark Adam, Achey, Shuk dan Abam.

Bagaimanapun, Abam menjadi peserta tunggal yang terkeluar pada episod penyingkiran minggu keenam program realiti itu.

Mark menerima wang tunai sebanyak RM100,000 sebagai juara program itu. – MalaysiaGazette