KUALA LUMPUR, 22 Mac -- Pemain Malaysia Mohd Afiq Fazail (kanan) diasak keras oleh pemain Mongolia Sundorj Janchiv pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Hasrat Harimau Malaya menamatkan badi 10 perlawanan tanpa sebarang kemenangan tidak kesampaian selepas terikat 2-2 ketika berdepan Mongolia pada aksi persahabatan antarabangsa Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mendahului 2-1 sehingga minit ke-70 sebelum Gangkhuyag Ser-Od-Yanjiv menjaringkan gol penyamaan seminit kemudian menerusi sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Haziq Nadzli.

Pada aksi malam tadi, Malaysia yang menghuni ranking ke-178 dunia memulakan perlawanan dengan aksi longlai seawal 10 minit pertama sebelum dua penyerang negara, Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Safawi Rasid hampir menceriakan lebih 10,000 penyokong setia yang hadir menerusi perubaaan berbahaya masing-masing.

Asakan serta gerakan menarik jentera serangan negara akhirnya membuahkan hasil apabila memperolehi gol pembukaan hasil jaringan sendiri kapten pasukan Mongolia, Turbat Daginaa, yang gagal menanduk kemas sepakan penjuru Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-31.

Bagaimanapun, kesilapan pertahanan negara Mohamad Fadhli Shas menahan bola hantaran rakan sepasukan membawa padah selepas ia dipintas Enkhbileg Purevdorj sebelum bijak melambung bola menewaskan Muhammad Haziq pada minit ke-42 untuk menjadikan kedudukan 1-1 sehingga rehat.-BERNAMA