Filem Dukun sepatutnya dapat ditonton pada Disember 2006.

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini diumumkan Filem Dukun yang tertangguh 12 tahun ini bakal ditayangkan mulai 5 April ini.

Belum pun ditayangkan namun timbul pertikaian yang disuarakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) apabila filem termasuk dalam kategori iaitu P13 yang mana kanak-kanak boleh menontonnya dengan bimbingan ibu bapa atau dewasa.

Presiden PPIM,  Datuk Nadzim Johan mendakwa menerima banyak rugutan berdasarkan trailer filem itu yang dikatakan mempunyai babak negatif dan tidak sesuai ditayang untuk P13.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

“Ada pandangan ibu bapa yang antaranya agak risau dengan keluarnya filem yang berbelas tahun tak keluar, nampak gaya ramai menunggu.

“Ini filem sensasi yang kita lihat promosinya boleh bawa kegusaran pada ibu bapa dan pendidik kita yang persoalkan kenapa klasifikasinya untuk 13 tahun ke atas kerana ia mungkin boleh bawa kesan negatif.

“Itu antara yang kita lihat menarik perhatian umum,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPIM hari ini.

Kategori P13 merujuk filem yang memerlukan penonton berumur di bawah 13 tahun diberi pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton.

Tambahnya, filem seram seperti Dukun bukan hanya menyeramkan namun mengandungi unsur suspen dan mengejutkan tetapi tidak berlebihan dan jalan cerita yang sukar difahami atau unsur yang boleh mengganggu emosi kanak-kanak.

Filem itu pada mulanya dijadual ditayangkan pada 2006 – 12 tahun lalu namun atas sebab tertentu tertangguh sehingga kini.

Terdahulu Dukun yang telah bocor di internet sejak Januari lalu dikatakan menjanjikan penamat yang berbeza apabila ditayangkan secara umum bermula Khamis ini.- MalaysiaGazette