KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada atlet angkat berat negara Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad yang menyumbang pingat emas pertama untuk Kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel XXI Gold Coast, Australia.

“Tahniah Azroy Hazal Wafie, hebat atlet angkat berat #Negaraku yang raih pingat emas pertama #GC2018 untuk Malaysia ! #NegarakuKebanggaanku, ” katanya dalam catatan di laman Twitter hari ini.

Atlet berusia 24 tahun itu mencatatkan angkatan seberat 261kg dalam acara 56kg dan memecahkan rekod kejohanan milik Amirul Hamizan Ibrahim (260kg) yang dilakukan pada edisi 2002 temasya itu di Manchester, England.

Beliau turut mencipta rekod baharu dalam acara snatch selepas membuat angkatan seberat 117kg, memadamkan rekod lama berusia lapan tahun, juga milik Amirul Hamizan seberat 116kg yang dilakukan di New Delhi, India pada 2010.- BERNAMA