KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu empat premis yang dimiliki oleh Famirah Sukses Wisata (JM06933714-V), syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan runcit pengiriman wang secara haram tanpa lesen pada 24 April lalu.

Tindakan ini dibuat berdasarkan peruntukan di bawah seksyen 7 (1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 ( MSBA), yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4 (1) MSBA.

Dokumen yang berkaitan dan wang  tunai berjumlah RM139,922.89 telah disita untuk tujuan siasatan. Serbuan dilakukan di beberapa tempat di Johor, termasuk:

  1. Kota Tinggi Pandan, Johor Bahru
  2. Bestari Bestmart, Skudai
  3. TJ Mart, Senai
  4. Taman Air Biru, Pasir Gudang

Dalam operasi serbuan yang sama itu, sebelas pendatang tanpa izin yang terlibat dalam mengendalikan premis tersebut ditahan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia atas kesalahan melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Serbuan ini adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan yang dilaksanakan oleh BNM untuk melindungi orang awam daripada apa-apa kerugian kewangan kerana berurusan dengan saluran tidak rasmi.

Orang ramai dinasihati agar tidak melakukan apa-apa urus niaga penukaran atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan haram dan ejen mereka.

Mana-mana individu yang menjalankan urus niaga dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram akan melakukannya dengan risiko yang ditanggung oleh mereka sendiri.

Tindakan undang-undang juga boleh diambil oleh pihak berkuasa yang berkaitan terhadap mereka. Orang ramai perlu menjalankan urus niaga hanya dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen yang disenaraikan di laman sesawang BNM (www.bnm.gov.my).

Mana-mana inividu atau syarikat yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 4 (1) MSBA apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette