Tony
Tony Fernandes

KUALA LUMPUR- Saham Kumpulan AirAsia jatuh sebanyak 10 peratus semasa dibuka hari pertama selepas Pilihanraya Umum ke-14 dan sehari selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes memohon maaf kerana menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika PRU14.

Dua hari sebelum PRU14, Tony menyiarkan video memuji Najib dan kerajaan kerana menyokong syarikat penerbangan tambang murah yang diasaskannya.

Najib pula selepas itu memuat naik gambar-gambar beliau bersama Tony di hadapan pesawat AirAsia yang dicat dengan slogan kempen kepada Barisan Nasional.

Bagaimanapun, semalam iaitu selepas lima hari Najib bersama parti Barisan Nasional kalah mengejut kepada Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam PRU14, Tony menyiarkan satu lagi video permohonan maaf dan mendakwa beliau dipaksa untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan terdahulu.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan Tony.

Dalam satu kenyataan di sini malam tadi, badan mengawal selia industri penerbangan Malaysia itu berkata, tuduhan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia itu adalah serius.

Dalam video berdurasi lapan minit yang disiarkan di Facebook rasminya itu, Tony antara lain mendakwa AirAsia diberitahu oleh Mavcom supaya membatalkan semua 120 penerbangan tambahan yang disediakan pada harga yang berpatutan untuk memudahkan rakyat balik mengundi.

Tony mendakwa, tindakan tersebut meskipun menggembirakan hati rakyat namun beliau dan AirAsia telah diberi tekanan oleh kerajaan ketika itu kerana menyedari ia membawa ramai pengundi.- MalaysiaGazette