Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bercakap kepada media selepas hadir pada Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2018
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bercakap kepada media selepas hadir pada Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2018

KUALA LUMPUR – MCA perlu melakukan bedah siasat selepas kekalahan teruk dalam PRU-14 sekali gus menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan, langkah drastik itu juga perlu diambil oleh semua parti komponen BN bagi meneliti kelemahan masing-masing.

“BN masih bersama dan ada beberapa parti komponen dikatakan akan keluar BN tapi tidak meninggalkan parti.

“Semua parti perlu melakukan bedah siasat termasuk MCA. Itu yang penting.

“Jawatankuasa pusat MCA akan memanggil mesyuarat dalam masa terdekat dan sebarang perkembangan akan diumumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas selesai mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini malam tadi.

Pada PRU-14 pada 9 Mei lalu, MCA hampir kalah di semua kerusi yang ditandinginya.

Parti masyarakat Cina itu hanya memenangi satu kerusi parlimen dan dua kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Sejurus kekalahan teruk itu, Tiong Lai mengumumkan beliau juga tidak akan mempertahankan kedudukannya sebagai presiden MCA dalam pemilihan akan datang parti itu. – MalaysiaGazette