Azwanddin Hamzah (kanan) bersama bekas Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam (kiri) menunjukkan dokumen ketika hadir bagi membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2018
PUTRAJAYA – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula 13 kes laporan rasuah yang dibuat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, antara laporan kes tersebut pernah dibuat oleh Datuk Seri  Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang kini Timbalan Perdana Menteri, Lim Guan Eng yang kini Menteri Kewangan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.Beliau berkata, SPRM di bawah ketua pengarah baharu perlu melakukan siasatan secara telus tanpa mengira apa sahaja jawatan dan pangkat.

“Jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini sedang disiasat, SPRM perlu melakukan tindakan yang sama ke atas Mahathir kerana laporan pernah dibuat sebelum ini.

“Jadi JMM mahukan SPRM lebih bebas daripada sebarang pengaruh politik dan tekanan daripada mana-mana pihak,” katanya selepas selesai menyerahkan dokumen kes salah laku itu di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, Azwanddin menyenaraikan sebanyak 13 perkara yang harus disiasat SPRM antaranya pemilikan hampir 100 keping wang kertas RM500 dan RM1,000, skandal Perwaja Steel dan kekayaan luar biasa anak Mahathir.

Laporan Mahathir menggunakan Danamodal untuk menutup kerugian syarikat kroni, aset hiliran Esso Malaysia dan salah guna kuasa sebagai Penasihat Petronas.

Turut tersenarai, skandal Bumiputra Finance, spekulator forex terbesar oleh Bank Negara, kegunaan wang kerajaan untuk melobi, pembelian MAS dengan harga luar jangkaan, siasatan RCI terhadap kerugian RM31.5 bilion Bank Negara serta bailout syarikat perkapalan Konsortium Perkapalan Berhad.

Azwanddin hadir ditemani bekas Pengarah Komunikasi Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam. – MalaysiaGazette