Ahli Parlimen Setiwangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad memeriksa pelan pembangunan Taman Tiara bersama Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tiara, Datuk Mohamad Yusof A. Bakar (kanan) dan wakil penduduk Taman Tiara, Sylvester Navaratnam (kiri) pada sidang media mengenai salinan laporan SPRM yang akan diserahkan oleh wakil penduduk Taman Tiara terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor di Pejabat Ahli Parlimen Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Siasatan semula perlu dijalankan terhadap isu penjualan sebidang tanah di Titiwangsa kepada Yayasan Wilayah Persekutuan di mana Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika itu adalah pengerusi yayasan tersebut.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat sebelum ini untuk menyiasat penjualan tanah di Lot PT9885 Mukim Setapak yang ingin dibangunkan dua buah kondominium mewah walhal tapak tersebut digazetkan untuk padang bola sepak dan dewan serbaguna.

Pembinaan kondominium tersebut mendapat bantahan penduduk Taman Tiara kerana tapak rancangan pembinaan itu terletak berhampiran dengan kediaman mereka.

Penjualan tanah tersebut kepada Yayasan Wilayah Persekutuan didakwa bersifat wujud kepentingan individu namun ia ditolak SPRM melalui satu surat balas yang dihantar pada 30 Mei 2017 memaklumkan kepada penduduk bahawa siasatan tidak akan diteruskan.

“Saya berharap pihak SPRM dapat  membuka semula siasatan kes ini kerana pengurusan SPRM sebelum ini mengatakan tidak wujud kes seperti didakwa oleh penduduk.

“Kami harapkan dengan pengurusan SPRM baharu dan kerajaan baharu ini, kita dapat menyiasat isu ini dengan telus dan adil,” kata beliau semasa sidang media di pejabatnya Sri Rampai hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tiara Titiwangsa, Datuk Mohd. Yusof A. Bakar kesal dengan keputusan SPRM yang tidak mahu meneruskan siasatan berhubung isu penjualan tanah tersebut walaupun keberangkalian ada konflik kepentingan.

“Kami harap supaya SPRM yang baharu ini dapat menyiasat semula kerana kami syak ada konflik kepentingan,” kata beliau.

Penduduk membuat laporan kepada SPRM pada 30 Mac 2017 dan menerima maklum balas pada 7 April 2017 dengan mengatakan aduan mereka tidak mempunyai unsur rasuah. – MalaysiaGazette