TERBARU Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse mengeluarkan satu kenyataan yang tidak boleh diterima sama sekali.

Bukan itu sahaja, kenyataan yang dibuat juga dapat menunjukkan kecetekan dan kedangkalan Jimmy Puah terhadap takrifan subsidi yang sebenar.

Bagaimana Jimmy Puah boleh menafsirkan bahawa air percuma itu bukan subsidi?

Sedangkan apa-apa sahaja bentuk perbelanjaan yang melibatkan
penggunaan duit kerajaan untuk membiayai sesuatu dengan kaedah mengurangkan harga yang sepatutnya ditanggung oleh rakyat adalah dinamakan sebagai subsidi.

Tambahan lagi sebelum ini dalam kenyataan Menteri Besar, Osman Sapian sudang terang-terangan menyatakan bahawa penerima bantuan yang memperoleh bil air sebanyak RM100 hanya perlu membayar RM90 kepada Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill kerana RM10 lagi telah disubsidi oleh kerajaan negeri.

Jelas, kerajaan yang bertindak memberi subsidi kepada rakyat kerana kerajaan yang menangung bakinya dan bayar kepada SAJ.

Jika pihak Syarikat Air Johor (SAJ) yang menanggung RM10 tersebut, itu baru dinamakan bukan subsidi. Jadi bagaimana boleh timbul pula air percuma itu bukan subsidi?

Sepatutnya Jimmy Puah tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat. Ini bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat malah merupakan satu kenyataan yang bercanggah antara pihak exco dengan pemerintah negeri.

Ada baiknya mereka berbincang dahulu, bukannya bersikap semberono apabila ingin mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Apatah lagi jika ia melibatkan kebajikan dan kehidupan rakyat.

DHIA HANI dari Persatuan Pemikir Muda Johor