SEPERTI SEMUT...Kelihatan kawasan Jalan Silang berhampiran puduraya menjadi tumpuan ribuan warga asing yang terdiri dari warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh yang mengambil kesempatan membeli belah dan berjalan di ibu kota setiap kali cuti panjang. foto MalaysiaGazette
Ramai pekerja asing Myanmar khususnya yang bukan beragama Islam telah meletak jawatan dan kembali ke negara asal.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berkata, pekerja Myanmar itu memilih untuk meninggalkan Malaysia selepas dinasihati oleh ahli keluarga yang bimbang tentang keselamatan mereka di Malaysia.
Beliau berkata, walaupun tidak kurang pekerja Myanmar memilih untuk berhenti, tetapi ia tidak mewujudkan malah kekurangan pekerja yang serius.
“Sektor perladangan dan pembuatan bagaimanapun memang berdepan isu kekurangan pekerja secara berpanjangan.
“Kerajaan perlu mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja,” katanya kepada China Press.
Myanmar sebelum ini membekukan penghantaran pekerja ke Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula mengulas bahawa tindakan Napyitaw itu tidak akan mewujudkan masalah buat Malaysia.
Michael menggesa kerajaan segera mengumumkan dasar baharu mengenai pekerja asing dan membenarkan kemasukan pekerja dari negara lain untuk menggantikan pekerja Myanmar.
Katanya, walaupun nilai ringgit telah menyusut, tetapi masih terdapat pekerja asing yang sanggup bekerja di Malaysia.
“Disebabkan dasar pekerja asing yang belum jelas, ia menyebabkan pekerja dari negara tertentu tidak dibenarkan memasuki Malaysia,” katanya.