Hamzah Zainuddin

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bekerjasama dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam usaha memaksimumkan penguatkuasaannya.

Menterinya Datuk Hamzah Zainuddin berkata langkah itu adalah bagi memperketatkan kaedah menangani masalah seperti ketirisan di sempadan serta penggunaan tanda harga barangan yang salah.

Beliau berkata pihaknya sedang merangka kertas kerja untuk meningkatkan operasi penguatkuasaan kementerian di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kedua-dua agensi berkenaan.

Katanya kertas kerja itu akan dibentangkan pada Jemaah Menteri pada Januari tahun hadapan sebelum diumumkan secara rasmi.

“Kita perlu adakan kerjasama ini disebabkan APM mempunyai 10,000 anggota yang dapat membantu 2,500 anggota penguat kuasa kementerian. Ia diharap dapat memberi kekuatan kepada kumpulan kita nanti,” katanya selepas Majlis Perhimpunan KPDNKK bagi Disember di sini hari ini.

Hamzah berkata beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai perkara itu.

“Saya sudah bincang dan mereka pun bersetuju. Oleh itu, saya minta pegawai saya buat kertas kerja kerana anggota APM dan Rela bukan bertugas sepenuh masa dan mahu lihat kaedah menggunakan khidmat mereka untuk membantu kita,” katanya.

Terdahulu, Hamzah turut menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi konvoi Trak Makanan Pertama yang diadakan pada Nov lalu sempena Karnival Jualan Mega 2016.

Karnival itu melibatkan 70 trak makanan dan berkonvoi sejauh 100 kilometer bermula dari Kluang ke Johor Bahru.

Pada masa sama, beliau turut merasmikan Kalendar Bank Rakyat 2017 yang bertemakan ‘Indahnya Ilhammu, Seninya Jiwamu #anakkita’, yang memaparkan hasil karya kanak-kanak autisme daripada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia.

— BERNAMA