PUTRAJAYA, 16 Dis -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut ketibaan Maithripala Sirisena semasa menerima kunjungan Presiden Sri Lanka itu yang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia di perkarangan Bangunan Perdana Putra hari ini. -- fotoBERNAMA
PUTRAJAYA – Malaysia dan Sri Lanka telah bersetuju untuk meneroka kemungkinan memulakan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Sri Lanka dalam usaha untuk menggalakkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Ini dipersetujui pada mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena di Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam pernyataan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan Presiden Sri Lanka, ia berkata Najib dan Sirisena telah mengesahkan komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk meningkatkan penglibatan ekonomi bagi manfaat bersama.

Pada mesyuarat itu, pernyataan bersama, kata Sirisena telah memberi jaminan pelabur Malaysia akan menikmati iklim pelaburan yang kondusif di Sri Lanka, dan mempelawa pelabur Malaysia untuk melihat secara proaktif peluang pelaburan yang menarik di Sri Lanka.

–BERNAMA