Home Ekonomi Ringgit diramal rendah berbanding dolar AS

Ringgit diramal rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan diniagakan antara RM4.40 dan RM4.50 minggu depan, didorong oleh prestasi pasaran ekuiti tempatan, kata Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Beliau berkata, keputusan Sistem Rizab Persekutuan (Fed) untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, disusuli dengan dua lagi jangkaan kenaikan pada tahun depan, akan menyebabkan pelabur bimbang.

Sementara itu, Penganalisis FXTM Research, Lukman Otunuga berkata, walaupun dijangka kadar faedah AS akan meningkat sebanyak 0.25 peratus susulan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, jangkaan kenaikan kadar yang agresif pada tahun depan menyebabkan dolar AS berada pada paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun.

“Walaupun masih kabur mengenai ketidakpastian tentang bagaimana dasar ekonomi boleh berubah di bawah Presiden Trump, keyakinan yang sama meningkat ke arah Trump untuk merangsang pertumbuhan AS melalui pengurangan cukai dan perbelanjaan infrastruktur mungkin telah memainkan peranan penting dalam perubahan kepada unjuran Fed.

“Dengan Fed menunjukkan keyakinan terhadap peningkatan pemerolehan pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan ini dan kadar pengangguran yang menurun, keseluruhan unjuran bagi ekonomi terbesar dunia itu terus menunjukkan menggalakkan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan rendah pada 4.4755/4795 berbanding dolar AS daripada 4.4215/4255 pada Jumaat lepas.

Ia ditutup tinggi berbanding mata wang utama lain. Ringgit naik berbanding yen kepada 3.7899/7959 daripada 3.8643/8681 pada Jumaat lepas, dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1015/1058 daripada 3.1067/1100 pada minggu lepas.

Unit tempatan naik kepada 4.6823/6887 berbanding euro daripada 4.6974/6034 pada Jumaat lepas dan menokok berbanding pound British kepada 5.5568/5640 daripada 5.5768/5832 pada minggu lepas. – MalaysiaGazette