Pemandu bas Mayang Sari yang dirakamkan sedang menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu yang menjadi viral baru-baru ini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Dalam kenyataannya, SPAD berkata, pegawai-pegawai penguatkuasa agensi tersebut telah bertemu pengarah syarikat Aerosystem Tour & Travel (M) Sdn. Bhd. yang mengendalikan bas Mayang Sari serta pemandu pagi semalam.

Ini bagi mengambil keterangan dan mengesahkan maklumat yang telah diberikan pengadu.

SPAD juga telah bertemu pengadu bagi merakamkan keterangan rasmi manakala rakaman video dan gambar yang diterima akan digunakan sebagai bahan bukti dalam siasatan.

Sekiranya siasatan mengesahkan pemandu terbabit telah membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya lain di bawah Seksyen 202, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD), pemandu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan merokok di dalam pengangkutan awam darat, pemandu boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 203 APAD dan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Sementara itu, pengendali bas berkenaan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 22 dan 23 APAD atas kesalahan mengingkari syarat-syarat lesen mengenai keselamatan yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.-MalaysiaGazette