Kerajaan Singapura memutuskan tiada bayaran komponen berubah tahunan (AVC) pertengahan tahun bagi kakitangan awam pada tahun ini, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) republik itu.-Gambar hiasan.

Persekitaran ekonomi di Singapura semakin teruk tahun ini dan hampir separuh syarikat yang menyertai satu kaji selidik baru-baru ini menjangkakan 2017 lebih buruk.

Ini merupakan penemuan terbaharu Kaji Selidik Perniagaan Kebangsaan yang dikendalikan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura.

Kaji selidik itu dijalankan ke atas lebih 1,100 syarikat melibatkan semua industri dan merangkumi pendapat mereka mengenai dasar kerajaan dan cabaran yang dihadapi.

Kaji selidik tersebut menunjukkan kos operasi dan tenaga kerja kekal menjadi kebimbangan utama bagi syarikat-syarikat di republik berkenaan dengan dua pertiga daripada responden menyatakan perkara itu sebagai halangan utama.

Para peniaga juga mengharapkan lebih banyak bantuan kerajaan untuk membolehkan mereka bertahan semasa kelembapan ekonomi ini.

Hanya 28 peratus daripada keseluruhan syarikat berkata mereka berpuas hati dengan dasar-dasar kerajaan sedia ada.

Antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula hanya 27 peratus berkata mereka berpuas hti berbanding 39 peratus syarikat yang lebih besar.

Lebih satu pertiga responden dari PKS dan firma besar meminta langkah sokongan untuk menghadapi situasi ekonomi yang kian teruk ini.

Kaji selidik tersebut turut menyaksikan usahawan-usahawan ini mahu berkembang keluar negara namun tidak mempunyai kepakaran yang mencukupi.

Lapan daripada 10 firma yang dikaji itu menyatakan, ASEAN merupakan rantau pilihan bagi perluasan perniagaan ke luar negara.- The Straits Times.