Persembahan Mariah Carey sempena menyambut tahun 2017 bertukar mimpi ngeri apabila diva sensasi itu didapati tidak menyanyi sebaliknya hanya menggerakkan bibir sahaja atau miming.

Kejadian itu berlaku ketika  penyanyi berusia 47 tahun itu menyampaikan lagu hit, Emotions ketika persembahan khas acara Dick Clark’s Rockin’ New Year’s Eve With Ryan Seacrest di New York, Amerika Syarikat, malam kelmarin.

Difahamkan, masalah audio ‘memecahkan tembelang’ ibu dua anak itu, sekali gus mendedahkan Carey sebenarnya menggerakkan bibir dan bukan menyanyi.

Menurut portal Hollywood Life, ketika lagu Emotions mula dimainkan, penyanyi itu kelihatan masih berlegar-legar di pentas dan tidak menyanyi.

Menyedari kesilapan itu, Carey memberitahu penonton lagu yang didengarinya dalam alat pendengar bukan lagu Emotions tetapi lagu lain.

“Kami tidak sempat membuat latihan untuk lagu ini, jadi beberapa vokalnya sudah hilang.

“Namun tidak ada apa yang saya boleh lakukan dan selebihnya biarlah penonton menyanyi,” katanya.

Oleh kerana acara tahunan itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran ABC, kejadian itu disaksikan ramai penonton yang kemudian mengkritik Carey di media sosial.

Menurut majalah Billboard, jadual persembahan padat menyebabkan Carey sukar mendengar arahan diberikan menerusi alat pendengar yang digunakan.

Pada acara itu, Carey turut membersembahkan lagu We Belong Together dan Auld Lang Syne.

Selain Carey, barisan penyanyi yang turut memeriahkan persembahan itu adalah Hailee Steinfeld, Shawn Mendes, John Legend, Niall Horan, Lukas Graham, Demi Lovato, Fifth Harmony dan DNCE.-MalaysiaGazette