Home Dunia Naib Canselor Jerman arah tutup masjid Salafi

Naib Canselor Jerman arah tutup masjid Salafi

BERLIN – Naib Canselor Jerman menggesa penutupan masjid Salafi kerana percaya serangan di pasar Krismas di Berlin baru-baru ini ada kaitan dengan ideologi ultra-konservatif Islam.

“Masjid Salafi mesti diharamkan, masyarakatnya dibubarkan dan pendakwah diusir dengan seberapa segera yang boleh,” kata Sigmar Gabriel dalam temu bual dengan Der Spiegel.

Sigmar Gabriel yang mengamalkan sikap ‘toleransi sifar’ dalam memerangi keganasan berkata, golongan yang menyampaikan ceramah berunsur keganasan tidak harus dilindungi di bawah undang-undang kebebasan beragama.

Beliau menyeru “perang moral” bagi menentang keganasan Islam dan mahu perbelanjaan ke atas program-program sosial ditingkatkan.

Ini termasuk memastikan kawasan bandar tidak diabaikan, kampung-kampung tidak dipengaruhi dengan unsur-unsur radikal.

Serangan di pasar Krismas pada 19 Disember lalu telah mengakibatkan 12 orang maut.

Saspek utama serangan itu, Anis Amri dikaitkan dengan pendakwah Salafi, Abu Walaa.

Walaa ditangkap pada November lalu bersama-sama dengan beberapa Salafi lain kerana cuba merekrut orang Islam Jerman untuk menyertai Kumpulan Daesh.

Gabriel sebelum ini menggesa Arab Saudi untuk menghentikan pembiayaan masjid fundamentalis pada 2015, yang didakwa menyebabkan punca peningkatan keganasan.

“Dari Arab Saudi, masjid Wahhabi dibiayai di seluruh dunia,” katanya dalam temu bual bersama akhbar Bild am Sonntag.

“Di Jerman orang Islam dianggap individu berbahaya,” katanya. – MalaysiaGazette