Home Ekonomi Perodua kekal kuasai pasaran automotif negara

Perodua kekal kuasai pasaran automotif negara

Aminar Rashid Salleh

KUALA LUMPUR – Perodua menjual lebih 207,100 buah kenderaan pada tahun 2016, meweakili 35.7 peratus daripada 579,600 volum industri, sekali gus menguasai pegangan pasaran dalam kereta kompak dan pilihan jenama automotif negara bagi 11 tahun berturut-turut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, semua model-model keluaran Perodua adalah pilihan utama dalam setiap kategori.

Meskipun Bezza dilancarkan pada bulan Julai, model itu telah dijual lebih 36,000 unit bagi tahun 2016, menjadikan ia kereta kompak sedan pilihan pertama bagi segmen A.

Menurut beliau, bagi jumlah volum industri, Perodua menjangkakan pemulihan pasaran dengan pertumbuhan sebanyak 2.0 peratus kepada 590,000 buah kenderaan pada tahun ini berbanding 579,000 pada tahun lalu.

Aminar mengakui tahun lalu cukup mencabar bagi sektor automotif kerana pengguna berhati-hati dalam perbelanjaan, menyebabkan pesaingan sengit dalam kalangan peserta industri.

“Berdasarkan sasaran itu, kami menyasarkan untuk memperoleh penguasaan pasaran sebanyak 34 peratus atau 202,000 kenderaan pada tahun ini,” tambahnya.

Menurut Aminar, pertumbuhan eksport Perodua naik pada tahun lalu sebanyak 6.0 peratus kepada 4,700 buah berbanding 4,400 buah pada tahun sebelumnya dengan 60 peratus eksport ke Indonesia.

Perodua, katanya akan terus melabur dalam perniagaan lepas jualan bagi memastikan pertumbuhan pendapatan.

Pada tahun lalu, lebih 2 juta kenderaan mendapatkan perkhidmatan di pusat-pusat servisnya di seluruh negara dan pendapatan servis yang dijana adalah sebanyak RM682 juta berbanding RM600 juta pada tahun 2015.

Dari segi pengeluaran, Perodua mengeluarkan 213,000 buah kenderaan pada tahun lalu berbanding 229,000 buah kenderaan pada tahun 2015.

Penurunan pengeluaran pada tahun lalu dipacu oleh penurunan permintaan. – MalaysiaGazette