Pesawat Eaglexpress

KUALA LUMPUR – Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) mengesahkan telah mendapat Sijil Pengendali IOSA yang diperbaharui oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bagi kali kedua.

Syarikat penerbangan ini mengendalikan haji dan umrah.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, perakuan itu telah ditandatangani oleh Naib Presiden Kanan IATA untuk operasi keselamatan dan penerbangan, Gilberto Lopez Meyer.

Ia mengesahkan bahawa Eaglexpress mematuhi peruntukan Program Manual IOSA di bawah Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA).

Eaglexpress berkata, program IOSA adalah satu sistem penilaian yang diiktiraf dan diterima pakai di peringkat antarabangsa yang direka untuk menilai pengurusan dan kawalan sistem operasi syarikat penerbangan.

Katanya, jumlah kadar kemalangan bagi syarikat penerbangan IOSA antara 2011 dan 2015 adalah 3.3 kali lebih rendah berbanding pengendali tanpa IOSA.

Lantaran itu, IOSA telah menjadi standard global.

Eaglexpress berkata, syarikat itu bakal menjadi pembekal penerbangan sewa khas swasta terkemuka bagi penerbangan haji dan umrah dengan pakej penuh (kepada agen).

“Kami mahu menjadikan haji dan umrah lebih mudah kepada penduduk Islam dunia. Keselamatan adalah kebimbangan utama jemaah dan keluarga mereka. Oleh sebab itu, pensijilan ini adalah kritikal demi kesejahteraan jemaah yang diambil serius oleh kami,” katanya. – MalaysiaGazette