KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran perolehan sebanyak RM1 bilion tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, sumbangan daripada perolehan bukan tambang akan meningkat sebanyak 15 peratus sehingga 20 peratus tahun ini.

Difahamkan, perolehan tersebut dijana menerusi perkhidmatan hampir RM900 juta tetapi masih tetap mencatat kerugiaan.

“Ini berdasarkan sasaran daripada perolehan tambang.

“Kami akan terus mencipta lebih banyak aktiviti kepada penumpang.

“Kami akan terus bekerja keras untuk meningkatkan perolehan bukan tambang bersama dengan rakan-rakan dari luar negara. Melihat kepada sasaran dan unjuran, kami mungkin layak untuk menyertai kelab RM1 bilion.

“Membuat keuntungan bukan matlamat kerana kami akan fokus kepada memberi perkhidmatan kepada rakyat. Jika kami mahu membuat keuntungan kami kira ia bukannya satu langkah yang adil kerana ianya tidak akan memberi manfaat kepada penumpang berikutan harga tambang yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan misi dan visi Prasarana bagi 2017 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Prasarana menjangkakan bakal menerbitkan sukuk bagi Jajaran 3 Transit Aliran Ringan (LRT) berjumlah RM9 bilion.

Azmi bagaimanapun tidak menyatakan tarikh khusus mengenai cadangan tersebut.

“Kami akan memasuki pasaran untuk menjana dana yang mencukupi. Kali terakhir kami menerbitkan sukuk, ianya terlebih langgan sebanyak tiga kali ganda,” katanya.

Tambahnya, tender bagi projek-projek tersebut akan dimulakan pada Mei tahun ini.

“Kami mengambil kebanyakan tanah untuk projek ini dan butiran mengenai rekaan kerja masih di dalam progres.

“Buat masa ini, utilliti, pemetaan dan penyiasatan tanah masih di dalam progress.

“Fasa pertama dijangka siap pada 31 Mei 2020,” katanya.

Jajaran 3 adalah sepanjang 37 kilometer dan menghubungkan 31 stesen daripada Bandar Utama dan Johan Setia. – MalaysiaGazette