Najib Razak

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia akan kekal kukuh meskipun tanpa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, beliau meminta rakyat Malaysia tidak risau mengenai keadaan ekonomi negara apabila TPPA tidak dapat direalisasikan.

“Meskipun tanpa TPPA, ekonomi kita akan kekal kukuh, dinamik dan dipenuhi dengan peluang-peluang daripada rakan-rakan perdagangan sedia ada.

“Tidak kiralah apa jua hasil mesyuarat tersebut, kita tidak perlu risau.

“Sehingga sekarang, Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang kukuh dengan negara-negara seperti China dan Jepun.

“Malah, dianggarkan perdagangan di antara Malaysia dan China akan melebihi AS$100 bilion (RM443.5 bilion) tahun ini,” katanya di dalam laman blog Najibrazak.com malam tadi.

Tambah Najib, Malaysia juga sedang bekerjasama dengan beberapa negara bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara-negara yang turut terlibat dalam TPPA.

“Kita juga telah mempunyai FTA dua hala dengan negara-negara seperti India, New Zealand dan Australia.

“Sebagai tambahan, kita akan meneruskan usaha untuk memuktamadkan hubungan ekonomi komprehensif serantau termasuk China dan India dengan pasaran yang jauh lebih besar daripada TPPA,” katanya. – MalaysiaGazette