Ridhzuan Abdullah (kiri) bersama Nasrol Faiz Zulfahmi (dua kanan) tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bagi memberi keterangan berhubung sekumpulan pemandu lori yang membuat perhimpuanan aman berhampiran Plaza Tol Sungai Besi. foto SAFWAN MANSOR, 27 JANUARI 2017.

SERDANG – “Luka beransur pulih, cuma kesan itu ada lagi, tidak boleh hilang dari ingatan, saya rasa takut lagi dengan insiden dipukul itu.

“Bagaimanapun selepas ugutan pada hari kejadian, tiada ugutan terbaharu,”. kata Nasrul Faiz Zulfahmi, 25, pemandu lori yang dipukul oleh sekumpulan lelaki selepas terlanggar kereta milik ‘Datuk’ di pekarangan sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ampang pada 14 Januari lalu.

Pada hari ini, Nasrul Faiz, 25, tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk dirakam keterangan.

Selain Nasrul Faiz, dua lagi individu yang dipanggil polis untuk diambil keterangan ialah Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah dan Bendahari Kelab Trucker and Snapper, Khairi Ali yang juga pemandu lori.

Mereka memasuki IPD Serdang sekitar pukul 11 pagi untuk memberi keterangan polis dan selesai pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

Mohd Ridzuan ketika ditemui pemberita berkata, beliau memberi kerjasama penuh dalam siasatan selama lebih sejam itu.

Sementara itu, Nasrul Faiz berkata, dia sepatutnya berehat tetapi mengambil cuti dengan kebenaran majikan untuk tampil memberi keterangan polis dan dipersoal mengenai perhimpunan pemandu lori beramai-ramai pada Ahad lalu.

“Polis tanya pasal perhimpunan pemandu lori beramai-ramai hari itu,” jelasnya yang mengharapkan empat suspek yang dituduh di mahkamah hari ini dijatuhkan hukuman setimpal.

“Saya rasa lain sikit, takut lagi sebab ramai ahli geng mereka di luar sana, cuma empat orang sahaja yang ada dalam video ditahan dan didakwa di mahkamah hari ini.

“Saya sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam kes ini, tapi masih tak berani, sebab takut ,” katanya.

Pada minggu lalu, sekumpulan 200 pemandu lori mengadakan perhimpunan sebagai tanda solidariti pemandu lori kepada Nasrul Faiz dan mendesak polis mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan lelaki yang membelasah mangsa hingga cedera.

Insiden itu menarik perhatian umum di media sosial apabila rakaman video mangsa dibelasah diviralkan.

Berikutan insiden tersebut, polis menahan enam individu termasuk seorang wanita dan mengambil keterangan 15 individu bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah merakam keterangan ketiga-tiga individu yang menyertai perhimpunan itu untuk disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Sementara itu, Ridzuan ketika ditemui berkata, Ikhlas melihat isu berkenaan sebagai membela rakyat dan menyeru pihak berkuasa supaya rakyat marhaen seperti mereka tidak dibebankan dengan siasatan dibawah APA 2012.

“Kami nak bela isu pemandu lori. Saya tak faham kenapa perlu disiasat dibawah APA, janganlah samakan dengan Bersih atau Gerakan Merah atau pemimpin politik.

“Kami ada hak bersuara, menyusahkan mangsa sehingga tertekan dengan kejadian itu. Sebelum ini polis nampak tak ambil berat sangat, mangsa takut, dan dia dekati Ikhlas.

“Mangsa risau dan terasa seperti buat jenayah besar selepas dipanggil beri keterangan untuk akta berkaitan, adakah ia patut, polis sila kaji semula.

“Ikhlas akan bela habis-habisan mangsa, dan tidak teragak-agak melancarkan protes bersama lebih 1,000 pemandu lori jika keputusan mahkamah tidak memberi keadilan setimpal,” katanya kepada pemberita.

Katanya, pihaknya dipanggil dan polis merakam keterangan dari ketiga-tiga mereka mengenai tujuan bantahan dibuat, pukul berapa berkumpul dan jumlah pemandu lori yang menyertainya. – MalaysiaGazette