Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mah Siew Keong mengakui bahawa UMNO sedang mengintai beberapa kawasan pilihan raya Gerakan termasuk kerusi Parlimen Simpang Renggam di Johor.

Presiden Gerakan itu berkata, partinya bagaimanapun tidak sesekali akan melepaskan Simpang Renggam yang merupakan salah satu daripada dua kerusi Parlimen yang dimenangi parti komponen Barisan Nasional (BN) tersebut.

“Khabar ini memang benar dan tidak dapat dinafikan, bukan sahaja Simpang Renggam, tetapi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain turut diintai UMNO,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Siew Keong turut mengkritik pemimpin akar umbi UMNO yang mengintai kerusi Gerakan dengan beralasan bahawa Gerakan menang dengan menumpang sokongan terhadap UMNO.

Katanya, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng bertungkus-lumus untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi di kawasan tersebut yang mempunyai majoriti orang Melayu.

“Selain Simpang Renggam, pemimpin UMNO di kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur juga menyatakan untuk tidak menyokong calon kami iaitu Dominic Lau yang juga Naib Presiden Gerakan,” katanya.

Beliau menggesa parti komponen BN saling menghormati di kawasan masing-masing dan berpendapat Gerakan juga mempunyai pengaruh yang besar di Simpang Renggam dan Batu.

“Jika kami hanya bergantung kepada UMNO dan tidak ‘berperang’ maka hasilnya juga tidak akan memberangsangkan.

“Mereka juga memerlukan sokongan pengundi Cina dan India, apatah lagi Gerakan berkhidmat tanpa mengira latar belakang kaum,” katanya.

Selain itu, Siew Keong turut mengakui bahawa Gerakan bersedia mengadakan pertukaran empat kerusi dengan MCA, UMNO dan MIC pada pilihan raya akan datang.

Mengenai perkembangan di Pulau Pinang, Siew Keong berkata, Gerakan tidak mahu pulang dengan tangan kosong selama tiga penggal berturut-turut.

Beliau bagaimanapun yakin bahawa pengundi Pulau Pinang akan memberi peluang kepada Gerakan dalam pilhan raya akan datang selepas DAP menyapu bersih semua kerusi selama dua penggal.

Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan berkata, proses pertukaran kerusi dengan MCA dijangka selesai dalam tempoh satu atau dua bulan

Katanya kepada China Press, pertukaran empat kerusi DUN antaranya membabikan Pulau Pinang dan Pahang. – MalaysiaGazette