Pengerusi Pakatan NGO PRO BN, Gabungan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar (tengah) bersama ahli-ahlinya menunjukan dokumen yang dikatakan bukti sebelum masuk ke Ibupejabat SPRM, Putrajaya bagi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datuk Seri Shafie Apdal yang dikatakan terlibat dalam salah guna kuasa. foto SAFWAN MANSOR, 02 FEBRUARI 2017
PUTRAJAYA – Pakatan NGO Pro Barisan Nasional dan Gabungan Akar Umbi UMNO Malaysia menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata tindakan itu perlu kerana beliau mendakwa Shafie ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyumbang projek melibatkan transaksi jutaan ringgit kepada seorang peniaga.

Dakwanya lagi, peniaga jutawan itu, Datuk Peter Anthony banyak mendapat peluang perniagaan dibawah kementerian yang diterajui Shafie sebelum ini.

“Syarikat Jati Engineering (Saga Sempurna-nama asal) didakwa mendapat projek dengan nilai dikatakan lebih RM20 juta dibawah kementerian itu semasa diterajui Shafie.

“Shafie dan Peter didakwa sebagai ketua parti Kadazan, Dusun Murut Malaysia yang juga pemilik syarikat Jati Engineering harus tampil menjelaskan kebenaran di sebalik isu ini.

“Tetapi Shafie sehingga kini masih mengunci mulut tanpa sebarang penafian ke atas segala isu ini dan tidak juga saman Chegubard atau Badrul Hisham Shaharil yang membangkitkan isu ini,” katanya kepada pemberita di pekarangan Bangunan SPRM di sini.

Tambah beliau, tujuan tampil ke SPRM adalah mahu suruhanjaya itu menyiasat perkara ini secara serius kerana rakyat ingin tahu kebenarannya.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya turut membuat laporan kedua supaya bekas Perdana Menteri merangkap Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad disiasat berhubung skandal kerugian wang negara bernilai RM30 bilion pada tahun 1992.

Katanya, insiden yang berlaku sekitar tahun 1992 ketika era pemerintahan Tun M masih belum disiasat dan kita tidak dapat mengetahui nasib wang berbilion itu yang merupakan hasil cukai rakyat.

Ujar beliau lagi, rakyat ingin tahu pihak sebenar yang bertanggungjawab dalam skandal, kerana setakat ini tiada pihak yang boleh dipersalahkan dan disiasat .

“Kami difahamkan pihak ketiga yang mengaut keuntungan hasil kerugian transaksi wang mata wang asing (forex) itu.

“Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang selaku pembangkang pernah membangkitkan isu ini pada tahun 2013 dan menggesa satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat RM30 bilion itu.

“Jadi saya akan menghantar surat rasmi kepada Kit Siang agar beliau bangkitkan semula penubuhan suruhanjaya siasatan diraja itu dalam isu skandal berkenaan kali ini,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette