SEREMBAN – Bekas Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan menganggap pelantikannya sebagai anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC satu permulaan baik untuk mengukuhkan lagi perpaduan dalam parti, sekali gus meningkatkan kepercayaan masyarakat India terhadap parti itu.

Beliau berkata banyak perkara yang perlu dilakukan MIC untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini, selaras dengan arus pembangunan negara.

“Jika kita gagal berbuat demikian, kita bimbang kerajaan akan hilang sokongan masyarakat India,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam semalam mengenai pelantikannya sebagai anggota CWC yang bertujuan untuk memperbaiki semula hubungan dalam kalangan anggota MIC susulan persengketaan dengan bekas Presiden Datuk Seri G. Palanivel.

Mengulas lanjut, Sothinathan berkata MIC sebagai parti yang mewakili masyarakat India harus bertindak secara proaktif untuk memastikan masyarakat India mendapat pembelaan dan bersama-sama menikmati faedah daripada pembangunan negara.

“Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan perpaduan ini kekal dan meningkatkan perkhidmatan parti kepada masyarakat India,” katanya.-MalaysiaGazette