Bot itu dipercayai karam tengah malam tadi sedang dalam perjalanan menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia.
TAWAU – Tiga belas individu termasuk seorang bayi dikhuatiri lemas selepas sebuah bot laju yang dinaiki 15 orang dilaporkan karam di perairan Batu Payung, Tinagat dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata bot itu yang dipercayai karam tengah malam tadi sedang dalam perjalanan menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia.

“Bot laju yang dinaiki 15 orang itu dikatakan terbalik terkena ombak besar namun terdapat seorang lelaki dan wanita dipercayai sepasang suami isteri terselamat,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya mangsa yang selamat itu telah berenang berjam-jam dan berpaut pada jaket keselamatan yang ada sebelum diselamatkan orang awam yang sedang memancing di kawasan pantai Batu Payung petang tadi.

“Orang awam terlihat mangsa sedang berenang menuju ke pantai dalam keadaan lemah,” katanya lagi.

Menurutnya, maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sementara itu Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tawau, Faisal Ahmad menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 6.30 petang tadi dan anggota dan jentera bomba tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat oleh pihaknya sedang giat dijalankan di kawasan pinggir pantai.

–BERNAMA