Jumlah rakyat Malaysia yang menderita akibat penyakit buah pinggang kronik meningkat. - Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Malaysia amat memerlukan penderma organ, terutama untuk memenuhi keperluan kira-kira 20,000 pesakit buah pinggang yang sedang menunggu peluang untuk menjalani pemindahan organ itu, kata pengerusi Eco World Foundation Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata jumlah rakyat Malaysia yang menderita akibat penyakit buah pinggang kronik meningkat 100 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas, dengan kemunculan kira-kira 7,000 pesakit baharu setiap tahun.

Pada akhir 2016, hampir 40,000 pesakit buah pinggang di seluruh negara memerlukan dialisis, kata Lee, yang menasihati rakyat Malaysia supaya mengamalkan gaya hidup sihat serta sering menjalani pemeriksaan perubatan bagi membolehkan mereka mengesan penyakit buah pinggang sejak awal lagi.

Lee menyerahkan dua mesin dialisis berharga RM45,000 seunit kepada Mawar Hemodialisis di Serdang dekat sini hari ini, yang merupakan satu daripada 14 pusat dialisis di seluruh negara di bawah kendalian Mawar Medical Centre di Seremban.

Pusat dialisis di Serdang itu dibuka pada 2005, manakala 14 cawangan berkenaan mempunyai kira-kira 800 pesakit, kebanyakannya mendapat subsidi daripada Mawar dan badan bukan kerajaan. Pesakit paling muda yang mendapat rawatan di pusat itu berusia 19 tahun.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Lee berkata yayasan itu telah membelanjakan RM135,000 untuk membeli mesin berkenaan dan diserah kepada pelbagai pusat dialisis sejak tahun lepas.

Yap Sok Han, 35, yang menjadi pengunjung tetap pusat dialisis itu sejak Oktober tahun lepas, berkata dia membayar RM90 bagi setiap sesi berbanding bayaran biasa sebanyak RM110.

“Saya disahkan mengalami masalah buah pinggang empat tahun lepas di sebuah hospital kerajaan di Putajaya.

“Saya ambil keputusan untuk pergi ke pusat di Serdang sebab ia amat dekat dengan tempat tinggal saya dan bapa saya (yang berusia dalam lingkungan 60 tahun) juga pergi ke situ,” kata ibu tunggal tiga anak itu.

Yap mempunyai perniagaan sendiri tetapi terpaksa berhenti bekerja untuk sementara.

— BERNAMA