Datuk Seri Jamal Md Yunos

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Md Yunos telah secara rasminya menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar.

Surat peletakan jawatan tersebut diserahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Di dalam surat tersebut, Jamal memberitahu peletakan jawatannya itu dibuat demi menjaga nama baik parti susulan penahanannya oleh pihak polis baru-baru ini.

“Saya percaya kes ini telah menjejaskan nama baik parti dan kepimpinan tertinggi parti khasnya di negeri Selangor.

“Sebagai ahli yang menyayangi parti yang telah banyak jasanya kepada rakyat, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian tersebut dan berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar.

“Akhir kata, saya akan patuh dengan apa jua keputusan yang akan dibuat oleh pucuk kepimpinan parti,” katanya.

Untuk rekod, Jamal baru-baru ini ditangkap pihak polis kerana disyaki terlibat dengan kejadian samun berkumpulan di bawah seksyen 395 kanun keseksaan.

Hasil dari tangkapan tersebut, beliau telah direman selama lima hari.