Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuka permohonan untuk mengemaskini borang permohonan program matrikulasi mulai 13 Februari hingga 27 Februari 2017.

KPM dalam satu kenyataan berkata, sehubungan itu, pelajar SPM  2016 yang telah membuat permohonan melalui Internet diminta mengemas kini maklumat berkenaan melalui laman sesawang www.moe.gov.my.

Katanya, keputusan kemasukan ke program matrikulasi KPM akan dikeluarkan melalui laman sesawang kementerian ini pada satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

“Pelajar atau pemohon tidak perlu menghantar salinan keputusan SPM ke Bahagian Matrikulasi KPM.

“Ini kerana keputusan SPM calon yang berjaya akan diperolehi terus dari Lembaga Peperiksaan sejurus selepas keputusan SPM diumumkan secara rasmi,” kata kenyataan itu.

Menurut KPM lagi, pelajar yang ditawarkan ke Program Matrikulasi KPM perlu mencetak sendiri surat tawaran yang akan dikeluarkan secara dalam talian sepenuhnya.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pengemaskinian borang permohonan Program Matrikulasi KPM, sila hubungi Bahagian Matrikulasi, KPM di talian 03-8884 4083/4036/4040 dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja). – MalaysiaGazette