KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood menjadi jurulatih pertama dikenakan hukuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila digantung empat perlawanan.

Menurut kenyataan FAM, Westwood didapati bersalah melanggar beberapa kod tatatertib gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil ketika perlawanan menentang Perak dalam aksi Liga Super, bulan lalu.

“Ashley Westwood telah didapati bersalah kerana melanggar Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM berkenaan salahlaku terhadap pegawai perlawanan dan dibaca bersama dengan Artikel 59 (a) Kod Tatatertib FAM berkenaan kelakuan menyinggung dan Fair Play.

 “Juga Artikel 50.1 (c) Kod Tatatertib FAM berkenaan salahlaku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan,” jelas kenyataan tersebut.

Bekas pengendali kelab Liga India, Bengaluru itu digantung secara automatik bagi empat perlawanan termasuk  Pahang T-Team FC (4 Februari), Sarawak (11 Februari), Pahang (18 Februari) dan Kedah (25 Februari).

Selain itu, Westwood turut didenda  sebanyak RM2,000 dan diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Pada perlawanan 27 Januari lalu itu skuad yang diterajui Westwood yang digelar Harimau Kumbang itu tewas 1-0 kepada Perak.

Keputusan penggantungan itu pastinya memberi lebih tekanan kepada Westwood yang sehingga kini masih belum mencatat sebarang kemenangan sepanjang tiga perlawanan liga musim ini termasuk tewas 1-0 kepada T-Team minggu lalu, serta kalah 2-0 di tangan Selangor dalam aksi pembukaan 21 Januari lalu.

Sebagai rekod, Pulau Pinang kini berada di kedudukan tercorot liga tanpa sebarang mata dan bakal menerima kunjungan Sarawak bagi aksi keempat Sabtu ini. – MalaysiaGazette