KUALA LUMPUR- Tiada kes baharu dikesan dalam kalangan masyarakat dan ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat “virus misteri” di Tanah Merah, Kelantan Ahad lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, semua kes yang dilaporkan masih dalam kalangan sanak saudara mangsa yang menghadiri majlis pertemuan di Kajang, Selangor.

Bagaimanapun, pemantauan masih diteruskan.

“Orang ramai tidak perlu panik dan bimbang.

“Tiada peningkatan kes dikesan termasuk di Kelantan dan Selangor, selain tiada juga penyakit berjangkit berpunca daripada ternakan dilaporkan.

“Kes ini adalah kluster jangkitan saluran pernafasan terpencil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Dr. Noor Hisham, seperti jangkitan lain, keputusan ujian sampel klinikal mengambil masa untuk diproses dan disahkan kerana perlu menjalani ujian kultur serta serologi bagi pengesahan punca jangkitan pernafasan.

Tambahnya, keputusan sampel klinikal yang diterima setakat ini menunjukkan semua kes adalah negatif bagi Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Semalam, seorang lelaki berusia 56 tahun meninggal dunia di Kota Bharu selepas pulang daripada bercuti bersama keluarga besar di Kajang dipercayai dijangkiti bakteria tersebut.

Beliau dipercayai terkena bakteria atypical klebsiella pneumonia yang menyebabkan jangkitan pernafasan sehingga maut.

Seorang lagi pesakit berusia 29 tahun daripada kontek sama berada dalam keadaan kritikal dan menggunakan alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tanah Merah dan sedang diawasi oleh Jabatan Kesihatan Kelantan.

Seramai 16 orang daripada 40 orang ahli keluarga terlibat adalah dari Selangor dan lima daripadanya didapati menghidap gejala jangkitan menyerupai indeks asal.- MalaysiaGazette