ringgit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (US) minggu depan, dan mengekalkan paras semasa antara 4.3-4.44 atau pun lebih rendah, kata penganalisis.

Laporan Bernama berkata, dagangan mata wang tempatan akan banyak dipengaruhi kedudukan global, termasuk sebarang langkah atau pengumuman oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Dolar US didagangkan dalam aliran menurun, terutama selepas Amerika Syarikat mengumumkan data gaji. Ia akan terus menyusut selepas Trump berjanji untuk memperkenalkan pembaharuan cukai baharu bagi menyokong ekonomi Amerika Syarikat.

“Selepas pengumuman itu, dolar US meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 1-1/2 minggu berbanding yen. Ia juga diniagakan tinggi berbanding Euro,” kata peniaga itu.

Bagaimanapun, berdasarkan data perdagangan yang positif yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia, pedagang optimis namun berhati-hati bahawa ia (data) akan memberi sokongan ke atas ringgit.

Minggu lepas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan jumlah dagangan bagi 2016, meningkat 1.5 peratus kepada RM1.49 trilion berbanding RM1.46 trilion pada 2015.

Angka dagangan itu dijangkakan berkembang 2.7 peratus tahun ini berikutan peningkatan sederhana jumlah dagangan global selain harga komoditi yang lebih tinggi.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.4250 dan 4.4420 berbanding dolar US.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan lebih rendah pada 4.4420/4470 berbanding dolar US daripada 4.4260/4300 pada Jumaat sebelumnya.

Unit tempatan ditutup lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain, kecuali pound British.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1235/1277 daripada 3.1292/1330, meningkat berbanding yen kepada 3.9081/9129 daripada 3.9123/ 9165 dan mengukuh berbanding euro pada 4.7263/7334 daripada 4.7535/7600.

Ia turun berbanding pound British kepada 5.5516/5588 daripada 5.5250/ 5304.-MalaysiaGazette