Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melakukan gimik perasmian dan penutup Festival Catur Putrajaya yang disertai lebih 1200 orang peserta sekaligus berjaya memecah rekod Malaysia Books of Record (MBOR) bagi Penyertaan Catur Kanak-Kanak Teramai di Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 11 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR- Kementerian Wilayah Persekutuan akan menjadikan kawasan tanah lapang berhampiran Pangsapuri Sri Penara di sini sebagai kawasan parkir kereta.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta yang serius di kawasan berkenaan.

“Lokasi yang dikenal pasti itu adalah di kawasan tanah di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran dan pihak TNB telah pun memberi kelulusan untuk menggunakan kawasan tersebut,” katanya ketika berucap pada perasmian Kenduri 1 Wilayah Persekutuan Parlimen Bandar Tun Razak seperti dilaporkan Bernama di sini hari ini.

Sementara itu di Putrajaya, Tengku Adnan hadir ke Festival Catur Putrajaya 2017 yang telah memecahkan rekod Malaysia Book of Records dengan penyertaan teramai kanak-kanak di negara ini.

Sebanyak 1, 200 peserta terlibat merupakan pelajar sekolah kerajaan, swasta dan lima pelajar cacat penglihatan yang menggunakan catur Braille.

Ia pertama kali diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.-MalaysiaGazette