Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Perasmian Tapak Kompleks Pusat Kawalan Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di KLIA, Sepang. foto ADIB AIMAN ROSLI, 14 FEBUARI 2017

SEPANG – Projek Kompleks Pusat Kawalan Trafik Penerbangan Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) bakal menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam industri penerbangan awam negara.

Ia sekaligus membentuk sebuah lagi lonjakan transformasi negara dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, projek KL ATCC bernilai RM650 juta itu apabila siap dibina nanti akan menjadi titik permulaan pelaksanaan penstrukturan semula ruang udara Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur Flight Information Region.

Katanya, transformasi berskala besar seperti itu tidak akan dapat menjamin pertumbuhan industri penerbangan tanpa penambahbaikan dan naik taraf infrastruktur industri penerbangan awam dan sudah tertentu ia merangkumi sistem-sistem dan kemudahan-kemudahan pengurusan trafik udara dalam negara.

Ujar beliau, industri penerbangan awam negara telah berkembang seiring dengan kemajuan sektor penerbangan global dan perubahan dalam trend permintaan menyaksikan peningkatan trafik udara secara positif di rantau Asia khususnya segmen penerbangan tambang murah.

“Penstrukturan semula ruang udara KL ini akan membolehkan KLIA untuk berupaya beroperasi pada tahap maksima melalui operasi 3 landasan secara serentak (KLIA) disasarkan dapat mempertingkatkan kapasiti landasan di KLIA secara keseluruhannya dari 78 kepada 108 pergerakan pesawat sejam, yang merupakan antara tertinggi di dunia.

“Saya percaya dengan adanya infrastruktur kawalan trafik udara yang canggih dan hebat ini, ia mampu memberi manfaat yang lebih besar kepada industri  penerbangan awam negara dalam usaha Malaysia untuk menjadi hab penerbangan global di rantau Asia Pasifik ini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah pembinaan KL ATCC di sini hari ini.

Ia dijangka beroperasi sepenuhnya di penghujung tahun 2019.

Turut bersama ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Sementara itu, Tiong Lai dalam ucapan menyatakan harapannya ATCC bukan hanya menempatkan pengurusan operasi kawalan trafik bagi ruang negara tetapi juga sebagai sebagai pusat sistem mencari dan menyelamat Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Dalam pada itu , Perdana Menteri turut mengharapkan peningkatan trafik udara di Malaysia yang dijangka mampu kekal pada kadar 4.5 peratus setahun.

Dalam suasana ekonomi yang stabil dan persaingan yang sihat, menurutnya, struktur ruang udara baru di Semenanjung Malaysia dijangka mampu berdaya tahan sekurang-kurangnya bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Dalam pada itu Najib yang juga Menteri Kewangan menyatakan peningkatan mendadak trafik udara telah dialami oleh lapangan-lapangan terbang di Semenanjung sehingga membawa kepada pembinaan Terminal klia2 dan juga Landasan 3 dan turut dirasai oleh Pusat Kawalan Trafik Udara di Sarawak.

Selain itu katanya, kerajaan juga melihat peningkatan pergerakan pesawat selain kenaikan kadar trafik udara di KLIA.

“Sebelum pembukaan LCCT pada Mac 2006, pergerakan pesawat di KLIA hanya mencatatkan pergerakan sekitar 600 pergerakan pesawat sehari sahaja.

“Namun kini ia telah mencecah kepada 1,200 pergerakan pesawat sehari dan ini menunjukkan satu lonjakan yang tinggi dalam tempoh hanya 10 tahun,” ujarnya lagi.

Beliau memberitahu, peningkatan kadar pengendalian pesawat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Subang juga telah mencapai tahap maksimum iaitu secara puratanya lebih daripada 900,000 pergerakan pesawat dikendalikan setahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kadar peningkatan ini telah menunjukkan bahawa Malaysia kini muncul sebagai antara hab penting di rantau Asia Pasifik dengan dasar penerbangan yang mampan dan asas-asas ekonomi yang kukuh dan membantu pertumbuhan ekonomi dan juga industri penerbangan negara sendiri,” katanya lagi.

Seiring dengan perkembangan ini, katanya, industri penerbangan negara telah melalui perkembangan yang begitu pesat disebabkan oleh pelbagai langkah liberalisasi yang dilakukan kerajaan.

“Dalam hal ini, Malaysia sentiasa menggalakkan dasar penerbangan liberal yang progresif di peringkat antarabangsa dan ASEAN sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan sistem pengangkutan udara, menjana pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing dan menggalakkan integrasi dengan global ekonomi.

“Ini termasuk pendekatan Dasar Langit Terbuka. Untuk itu, perlulah semua pihak berkepentingan mendukung hasrat yang sama dalam merealisasikan harapan kerajaan bagi membuktikan bahawa kita tiada kompromi dalam memastikan perkhidmatan yang terbaik, cekap dan paling penting, selamat,” katanya.

Najib dalam ucapan sama Najib turut mengumumkan yang DCA akan ditransformasikan sebagai sebuah badan berkanun yang akan dikenali Lembaga Penerbangan Awam Malaysia atau Civil Aviation Authority of Malaysia mulai tahun depan.- MalaysiaGazette