Abdul Aziz Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pihak yang mencadangkan pindaan Rang Undang-undang RUU 355 telah melanggar Perlembagaan sekaligus merobek ketulusan institusi beraja di negara ini.

Demikian kata Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abdul Aziz A. Rahman, apabila menyifatkan pihak yang membawa usul tersebut telah melanggar kuasa raja.

Menurutnya, kandungan pindaan itu yang mahu mengubah dan menambah had hukuman maksimum akta berkenaan adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.

“Tidak boleh membawa cadangan ke Parlimen kerana ia bukanlah institusi yang tepat untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan Islam.

“Sepatutnya mereka membawa cadangan berkenaan ke pengetahuan sultan kerana hal ehwal agama terletak di bahu baginda.

“Mana boleh perkara berkaitan agama ini dibincangkan di Parlimen yang di dalamnya ada orang bukan Islam. Apa yang mereka lakukan ini tidak kena pada tempatnya.

“Hendak meneliti rang undang-undang ini pula kena ada pihak yang pakar dan tahu tentang segala selok belok hukuman yang hendak dibuat,” katanya pada sidang media di sini.

Abdul Aziz berkata, berdasarkan penelitian beliau yang juga seorang pengamal undang-undang, hukuman yang dicadangkan dilihat tidak mengikut hukum Islam sebagaimana yang ternyata di dalam al-Quran dan Sunnah.

Ini kerana jelas beliau, hukuman untuk memenjarakan seseorang yang melakukan kesalahan tidak berpuasa selama 30 tahun dan berkhalwat pula dirotan 100 kali dan denda RM100,000 adalah tidak masuk akal kerana Islam sendiri tidak mengajarkan begitu.

“Aras hukuman yang ada sekarang pun tidak diguna. Tidak perlu untuk melaksanakan hukuman yang tinggi sebagaimana dicadangkan. Orang Islam di Malaysia tidak boleh terima cadangan ini,” ujarnya.

Mengambil contoh satu kes baru-baru ini berkaitan khalwat di Kuala Lumpur, Abdul Aziz memberitahu, mahkamah syariah hanya menjatuhkan hukuman penjara selama 14 hari sahaja.

Justeru kata beliau, sama ada hukuman yang dicadangkan itu adalah sesuai atau tidak ia perlu dibawa kepada sultan di negeri-negeri yang mahu melaksanakannya serta raja untuk diputuskan.

Namun, jika di Parlimen cadangan itu diterima dan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, maka, pihak MPM akan campurtangan mengenainya dan akan membawanya ke mahkamah.

“Soal agama Islam perlu dilaksanakan dengan cara yang betul dan tidak ada campur tangan pihak-pihak yang berkepentingan politik.

“Ini adalah penting memandangkan Malaysia ialah satu negara yang mempunyai undang-undang kompleks dan penduduk berbilang bangsa, kaum, agama dan kebudayaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette