Abdul Rashid Rahman

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih meletakkan harapan penuh terhadap Pas untuk menyambut salam kerjasama dengan parti itu sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Menurut Naib Presidennya Tan Sri Abdul Rashid Rahman, parti itu masih menaruh keyakinan terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang memandangkan PPBM giat mengadakan pertemuan dengan Pas sebelum ini.

“Memang PPBM mahu jalin kerjasama dengan Pas kalau tidak takkan kita sanggup adakan pertemuan. Perbincangan sebelum ini bagus dan sungguh akrab. Malah kita telah keluarkan garis panduan mengenai apa yang kita akan buat.

“Kita berharap begitulah (dapat jalin kerjasama dengan Pas sebab ini gabungan untuk menentukan pembangkang berpakat untuk menentang Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Pas dilaporkan akan mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya esok bagi keputusan sama ada menerima kerjasama dengan PPBM dalam platform pembangkang bagi menghadapi UMNO.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, keputusan berhubung kerjasama berkenaan akan diputuskan Hadi selaku Presiden Pas.

Tuan Ibrahim sebelum ini mengetuai pertemuan dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir awal bulan lalu bagi membincangkan hala tuju kerjasama di antara kedua-dua parti.

“Kita tunggu Pas punya keputusan sebab akan diputuskan esok. Biar dia (Presiden Pas) putuskan. Setakat ini saya tidak boleh komen. Kami (PPBM) menunggu sahaja keputusan Pas. Segala keputusan akan kita terima. Belum pasti apa keputusannya.

“Kalau ada titik persamaan antara PPBM dan Pas baguslah bergabung untuk Pilihan Raya Umum (PRU14), kalau tidak boleh kita (pembangkang) kena cari jalan lain,” jelas Rashid mengenai pendirian terkini PPBM terhadap Pas.

Pada Sabtu lalu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh sebulan kepada pemimpin PAS untuk memutuskan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) atau tidak.

Ujar bekas perdana menteri itu, walaupun kerjasama antara kedua-dua parti masih di peringkat perbincangan, namun segala keputusan segera harus diperolehi bagi menentukan strategi seterusnya. – MalaysiaGazette