Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Pasaran kewangan negara terus bertambah baik sejak pelaksanaan langkah-langkah untuk memajukan pasaran kewangan dalam negeri yang diumumkan pada 2 Disember tahun lalu.

Jawatakuasa Pasaran Kewangan berkata,  keadaan bertambah baik seperti ditunjukkan oleh jumlah aktiviti dagangan dalam pasaran FX.

Bank Negara Malaysia berkata, sebanyak AS$37.0 bilion transaksi pertukaran asing berkaitan dengan eksport dan import barangan dijalankan pada Januari sehingga 15 Februari 2017.

Data BNM juga menunjukkan imbangan yang bertambah baik antara aliran pertukaran asing eksport dan import, sejajar dengan lebihan perdagangan dalam akaun semasa.

“Sejak langkah-langkah berkenaan diperkenalkan, penukaran hasil perolehan eksport mengatasi import sebanyak AS$372.9 juta pada bulan Disember 2016 dan AS$741.3 juta pada bulan Januari 2017,”  katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pasaran pertukaran asing (FX) dalam negeri juga terus mencatat jumlah transaksi harian purata AS$9.1 bilion dalam semua jenis transaksi FX.

Jumlah transaksi purata harian bagi  pasaran mata wang Ringgit Malaysia ialah AS$5.2 bilion dengan purata transaksi semerta (spot) dan hadapan (forward) sebanyak AS$2.3 bilion sehari.

Turun naik kadar pertukaran kekal stabil dengan pergerakan antara hari purata mengecil kepada kira-kira 53 mata asas pada Januari 2017 daripada purata 82 mata asas pada Disember tahun lalu, tambahnya.

Data BNM juga menunjukkan imbangan yang bertambah baik antara aliran pertukaran asing eksport dan import, sejajar dengan lebihan perdagangan dalam akaun semasa.

Manakala ringgit kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan pergerakannya sama seperti mata wang serantau lain dan mata wang utama yang sedang dipengaruhi perkembangan dalam pasaran kewangan AS dan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan pada tahun 2017. – MalaysiaGazette