KUALA LUMPUR – Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan ketakutan kumpulan liberal dan sekular adalah produk mereka tidak lagi laris apabila umat Islam di Malaysia menyatakan sokongan terhadap pindaan RUU 355.

Peserta Himpunan RUU 355 menunaikan solat maghrib di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL 18 FEBRUARI 2017.
Peserta Himpunan RUU 355 menunaikan solat maghrib di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL 18 FEBRUARI 2017.

Ketua Dewan Pemuda Pas itu berkata, kumpulan tersebut yang menolak pindaan undang-undang itu sebenarnya takut apabila umat Islam kembali kepada ajaran Islam dan perancangan jahat mereka kini gagal sama sekali.

“Mereka takut bukan kerana isi pindaan akta ini. Ia kecil dan tak pun menyentuh mereka walau sedikit. Hidup mereka akan kekal aman seperti biasa.

“Tetapi, yang mereka takutkan ialah kembalinya umat kepada Islam. Produk mereka tidak lagi akan laku dan laris. Sekular, liberal, kapitalis, sosialis dan hidup bebas tanpa ikatan agama semuanya akan menuju kubur dan dikambus.

“Yang mereka takutkan ialah kesatuan umat Islam. Dengannya, perancangan buruk mereka ke atas umat Islam akan pecah terburai dan gagal,” kata beliau dalam entri terbaharu di akaun Facebooknya.

Menurut Nik Mohamad Abduh, kejayaan Himpunan RUU 355 yang menyaksikan pimpinan UMNO turut menyokong pindaan itu sebagai langkah awal dan meramalkan sesuatu yang lebih besar berlaku sekiranya ahli-ahli parti itu mula menerima Pas, maka tidak mustahil sasaran menang 40 kerusi Parlimen dapat dicapai dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Itu baru UMNO sokong usul Pas di Parlimen dan sokong H355 (Himpunan 355 di Padang Merok pada 18 Februari).

“Bagaimana selepas ini jika orang-orang UMNO dan pemimpinnya mula menerima dan rela jika Pas menang lebih baik dan lebih besar sehingga 40 kerusi parlimen atau lebih?

“Bukankah kesatuan hati umat Islam itu besar kesannya untuk kesejahteraan Malaysia?” ujarnya lagi.

Beliau juga menyifatkan kejayaan menghimpunan umat Islam pada Sabtu lalu di Padang Merbok sebagai kejayaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Saya sentiasa beriman sepenuhnya bahawa awlawiyat dan keutamaan adalah pada kesatuan umat Islam.

“Sekarang hampir terbukti bahawa usaha PAS membawa usul persendirian pindaan Akta 355 di Parlimen telah pun digerakkan dan didahului oleh sebuah kesatuan umat yang besar yang belum pernah berlaku dalam sejarah kemerdekaan negara,” katanya. – MalaysiaGazette