Penangan isteri muda, En somi makan hati

BARU-BARU ini ada seorang isteri, kerana nak bersohor (menunjuk) pada kawan-kawan, bagitahulah yang dia dapat hadiah dari En somi.

“Audi Q7 uolls…”

“Bolehlah pergi ngeteh rumah bla bla bla di KL…”

Saya dapat bayangkan, betapa teruja dan gembiranya cik isteri beritahu kepada kawan-kawannya akan hadiah yang diterima dari En somi.

Beritahu pula dalam Facebook. Siap tunjuk gambar kereta lagi.

Bila masuk Facebook, bukan kawan saja yang tahu ‘kti’ dapat kereta. Seluruh khalayak dalam alam maya yang bukan member ‘kti’ pun tahu ‘kti’ terima Audi Q7 dari En somi. Kaya sungguh En somi ‘kti’. Bertuah ‘kti’ dapat En somi kaya raya.

Apapun ‘kti’ jangan bimbang takut orang lain tak tau ‘kti’ dapat hadiah kereta mewah daripada En somi, ada kawan-kawan lain tolong kongsikan status dan gambar Audi Q7 ‘kti’ dalam akaun Facebook masing-masing.

Dah ribu-ribu orang tengok dan kongsi cerita ‘kti’, dan dah sampai ke tangan musuh politik En somi pun.

Selama ini, orang ramai sangkakan En somi dan semua kepimpinan dalam parti En somi miskin, hidup sederhana, alim, zuhud dan bertaraf ulamak. Tapi bila ‘kti’ dedahkan kemewahan hidup, ramailah pertikaikan.

Macam-macam komen mengenai En somi dan ‘kti’ sendiri viral atau tular dalam laman alam maya, di pejabat-pejabat, di tepi-tepi jalan, di kedai-kedai kopi, di tempat-tempat ceramah politik dan sebagainya.

En somi dah habis buah kilas untuk pertahankan serangan orang ramai, lebih lagi musuh politiknya yang suka ambil kesempatan untuk menjatuhkannya. Tapi ‘kti’ tak tahu ini semua. Dapat kereta saja, ‘kti’ bongkar.

Sikap ‘kti’ sebagai isteri muda kepada En somi tak sama dengan madu ‘kti’ iaitu isteri pertama En somi.

Yang pertama En somi tetap kekal setia sampai ke akhir hayat merahsiakan harta benda dan kehidupan peribadi En somi, sebab yang pertama tahu batas-batas kerjaya En somi sebagai ahli politik.

Tapi dapat pada ‘kti’, dalam sekelip mata kehidupan peribadi En somi terdedah kepada umum. Hebatnya penangan isteri muda.

En somi pula, walaupun tahu hal peribadinya sedang dibicarakan di luar sana, terpaksa buat-buat muka senyum. Terpaksa tunjuk muka manis. Terpaksa lakon seolah tak ada apa-apa berlaku.

Kalau senyum pun, senyum dalam pahit. Kalau ketawa pun, ketawa dalam menangis. Nak marah-marah, nak tegur-tegur supaya tak buat lagi lain kali, takut isteri muda merajuk. Tahu sajalah kalau isteri muda, lamanya boleh sampai setengah purnama.

Tapi kegelojohan isteri muda ni lebih sudu dari kuah. Lebih lajak dari laju. Geram pun ada dengan kerenahnya, tapi apakan daya. Itu isteri muda.

Nak tak nak, terpaksalah ‘makan hati’ dengan perbuatan si isteri muda.

Seperkara yang saya nak perkatakan di sini ialah, memang selama ini, terutama kalau kita lihat di Kelantan, semua pemimpinnya kelihatan seperti miskin. Siang malam berimej sederhana. Dengan kopiahnya, dengan berserbannya, dengan berjubahnya dan dengan “ana” “ente”nya.

Kalau kebetulan pemimpinnya lalu depan kedai kopi dan ada lima enam penduduk sedang makan minum, pemimpin ini terpaksa masuk untuk bertanya khabar, tetapi dalam keadaan tergesa-gesalah seperti nak cepat ke pejabat atau ada mesyuarat.

“Maaf, ana puasa hari ini…”, “Sebenarnya, kita tak ada peruntukan untuk bla bla bla, sebab kita miskin…” dan macam-macam alasan lagi. Itulah sandiwara yang anda semua boleh dengar dan lihat di Kelantan.

Seboleh-bolehnya, mereka hanya perlukan penduduk pada hari mengundi sahaja. Bila menang, mereka tidak mahupun diganggu oleh penduduk, apatah lagi yang datang itu bukan membawa hadiah, tapi datang hendak bantuan.

Bagaimanapun, akhirnya lakonan miskin ini terbongkar juga dek penangan isteri muda.

Ini bukan yang pertama berlaku seperti yang didedahkan isteri muda di sebuah kawasan di Terengganu minggu lepas.

Di Kelantan pun, kerana keghairahan isteri muda juga, mendedahkan kepada umum yang si suaminya milik harta jutaan ringgit.

Terkejut besar seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia amnya dengan pendedahan si isteri muda itu. Ya lah, selama ini suaminya ulang alik ke pejabat dan ke tempat ceramah hanya berimejkan kain pelikat, berkopiah dan berbaju Melayu, kereta pun buruk.

Tapi, sekali bergaduh dengan isteri muda, habis segala hal dalam kain dibongkarkan.

Isteri muda ni, manjanya pelik. Agresifnya pun pelik. Seimbang. Kalau manja, tak sampai tiga tahun kahwin, dah dapat dua anak. Tapi kalau dia marah, keagresifannya sampai angka duit dalam bank didedahkan kepada umum.

Tapi, setakat ni mujurlah ‘kti’ Terengganu tak macam rakan yang se title dengannya di Kelantan tu. ‘Kti’ masih hidup bahagia sebab En somi ‘kti’ sayang sangat pada ‘kti’. Tak taulah pula bagaimana perasaan isteri pertama En somi. – MalaysiaGazette