KUALA LUMPUR – Sudah diketahui ramai penyanyi muda, Amira Othman dan Aiman Tino bakal membuat penampilan istimewa di dalam Konsert Gegar pop Yeh Yeh di Istana Budaya (IB) Kuala Lumpur pada 3 hingga 5 Mac ini.

Penampilan penyanyi yang sedang hangat dengan lagu Hati Hati dianggap sebagai langkah positif bagi dirinya untuk terus maju dalam bidang seni suara.

“Terus terang, saya sangat terkejut dengan tawaran pihak penganjur kerana memang menjadi impian saya dan semua penyanyi untuk menyanyi di Panggung Sari, IB.

“Nampaknya, impian saya dimakbulkan lebih awal malah dapat menyanyi bersama lagenda pop yeh yeh yang menjadi idola saya selama ini serta berduet dengan Datuk A. Rahman Hassan,” kata Amira.

Finalis Akademi Fantasia 2013 ini sedang giat menjalani latihan bagi konsert tersebut di bawah bimbingan Pengarah Muzik, Shamsul Zin serta ‘big band’, Agogo Istana Budaya.

“Saya sangat gementar kerana konsert ini berbeza dengan konsert yang pernah saya sertai sama ada dari segi lagu mahu pun konsepnya.

“Melalui lagu I Follow Him saya akan dikehendaki menari bersama 12 penari Istana Budaya, sesuatu yang asing bagi saya namun saya akan memberikan persembahan yang terbaik,” tambahnya.

Dalam konsert berdurasi dua jam itu, Amira akan menyanyikan lagu I Follow Him (Peggy March), Bahagia Hendaknya (Azizah Mohamad) dan Syurga Idaman (Azizah Mohamad).

Bersempena dengan konsert tersebut Amira juga mengambil peluang menganjurkan program Exclusive Meet & Greet with Amira Othman pada hari terakhir konsert, pada 5 Mac di IB.

“Tujuan program ini adalah untuk mendekatkan saya dengan para peminat terutamanya yang belum pernah ke Istana Budaya dan dalam masa yang sama mereka juga menyokong irama pop yeh yeh.

“Dengan hanya bayaran sebanyak RM150 mereka akan dapat menyaksikan konsert, bertemu dengan saya dan menikmati hidangan yang disediakan,” katanya yang hanya mengehadkan seramai 40 orang peminatnya sahaja.

Amira berharap apa yang dilakukan sempena Konsert Gegar Pop Yeh Yeh itu sedikit sebanyak dapat menyemarakkan lagi masayarakt untuk kekal menyokong irama tersebut.

Artis lain yang mengambil bahagian dalm konsert tersebut ialah Datuk A.Rahman Hassan, Datuk Jefrydeen, Datuk L. Ramli, J.Sham, Maria Bachok dan A.Rozainie sementara Abby Yus akan bertindak sebagai pengacara.

Konsert ini diterbitkan oleh Istana Budaya dengan kerjasama Persatuan Generasi Seni Malaysia (GenSem) dan CTRA Production menawarkan harga tiket RM56, RM86, RM116, RM156 dan RM186 yang boleh dibeli melalui www.AirAsiaRedTix.com atau telefon 03-40265558/017-2004249/012-2977220. – MalaysiaGazette