Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
PETALING JAYA – Sikap memonopoli dalam ekonomi sesebuah negara boleh mengekang pertumbuhan ekonomi negara berkenaan, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah apabila syarikat-syarikat mula menunjukkan sikap monopoli, pengguna yang menjadi mangsanya.

“Bahayanya sikap sedemikian diperakui Adam Smith, yang dikenali sebagai bapa ekonomi, dalam bukunya ‘Wealth of Nations’ di mana beliau menyatakan bahawa monopoli yang diberi kepada individu atau syarikat perdagangan mempunyai kesan sama seperti rahsia dalam perdagangan dan pembuatan.

“Beliau seterusnya menyatakan bahawa apabila golongan dalam bidang sama bertemu, ia selalunya berakhir dengan konspirasi terhadap orang awam, atau dalam sesetengah keadaan menyebabkan berlakunya peningkatan harga,” titah Sultan Nazrin semasa merasmikan Persidangan Persaingan Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Baginda bertitah walaupun pertemuan itu tidak dapat dielakkan, namun adalah menjadi tugas pembuat dasar untuk mengurus dan mengawal selia hasil mereka.

“Bagi Malaysia, MyCC memainkan peranan penting dan mencabar melalui pelaksanaan Akta Persaingan 2010,” titah baginda.

Bagaimanapun, Sultan Nazrin bertitah daripada perspektif ekonomi, persoalan mengawal selia kuasa monopoli melibatkan perbandingan kos dan manfaat.

“Hujah ekonomi boleh mewajarkan keperluan operasi berskala besar bukan berdaya saing bagi beberapa keadaan termasuklah apa yang dikenali sebagai monopoli semulajadi.

“Ini merujuk kepada keadaan dengan kos tetap dan ekonomi skala tinggi, yang memerlukan pelaburan besar untuk mencapai paras pengeluaran optimum,” titah baginda sambil memberitahu bahawa ini mungkin mewajarkan kewujudan pemain pasaran yang dominan.

Dalam kes sedemikian, Sultan Nazrin bertitah daripada menguatkuasakan dasar persaingan, kerajaan boleh menerima pakai dasar yang menggalakkan atau melindungi terutamanya bagi sektor yang mempunyai kepentingan nasional atau strategik.

— BERNAMA