Ahmad Fauzi Zahari

KUALA LUMPUR – Ramalan ‘tsunami politik’ akan berulang adalah sesuatu yang tidak realistik setelah mengambilkira perpecahan dalaman dalam kalangan parti pembangkang ketika ini.

Dakwaan mengatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal mendapat pengaruh pengundi, khususnya masyarakat Melayu tidak benar sama sekali, malahan kerusi yang dimenangi oleh UMNO bertambah pada pilihan raya umum ke-13 lalu (PRU13), kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Ahmad Fauzi berkata, pembangkang gagal mencapai kata sepakat dalam banyak isu, contoh paling ketara adalah melibatkan pembahagian kerusi yang mana mereka sering bertembung sama sendiri.

“Kita di dalam BN, walaupun bercanggah pendapat namun kita tetap bersatu pada penghujungnya malah kita tidak mempunyai masalah pembahagian kerusi.

“Ini amat berbeza dengan pembangkang. Pembahagian kerusi sentiasa menjadi isu… kata bergabung tetapi bila tiba pilihan raya, mereka bertembung sesama sendiri.

“Jadi adalah lebih baik mereka cermin parti sendiri sebelum sibuk mahu menilai kesepakatan UMNO dan barisan komponen BN,” beliau dipetik berkata.

Selain itu jelas Fauzi, pembangkang sebenarnya semakin gusar apabila melihat UMNO mampu bekerjasama dengan Pas kerana mereka sedar, kerjasama ini mampu membuatkan bahtera pakatan pembangkang karam.

“Pembangkang sedar, kerjasama mereka bersama Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak sama dengan kerjasama mereka sewaktu bersama Pas dahulu.

“Oleh itu mereka bimbang sekiranya UMNO bekerjasama dengan Pas akan membuatkan mereka hilang banyak undi.

“Maka strategi mereka menjelang PRU-14 adalah menyerang dan merosakkan segala usaha kerjasama UMNO dan Pas dan juga memburukkan imej BN,” terangnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih berangan-angan satu lagi ‘tsunami politik’ akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kononnya rakyat sudah tidak lagi bersama BN. – MalaysiaGazette