Liow Tiong Lai. foto SAFWAN MANSOR, 08 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Mana-mana basikal yang diubahsuai tidak akan lagi dibenarkan untuk menggunakan laluan lebuh raya bagi mengelak perkara tidak diingin berlaku, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Keputusan itu dibuat rentetan kemalangan tragis yang berlaku di Johor Bahru pada 18 Februari lalu di mana lapan remaja maut selepas dirempuh kereta.

“Kementerian akan tingkatkan penguatkuasaan dan pastikan jalan-jalan raya yang sepatutnya untuk kenderaan bermotor lebih selamat dan tidak dibenarkan basikal yang diubahsuai menggunakan laluan-laluan lebuh raya.

“Ini kerana laluan ini adalah tiga lorong dan menyebabkan kenderaan laju yang boleh mengakibatkan kemalangan,” kata Tiong Lai hari ini semasa sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Selain itu, Tiong Lai juga menyarankan sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pengguna motosikal dan basikal, mereka digalakan memakai pakaian yang mempunyai pantulan cahaya semasa menunggang kenderaan.

“Kedua kita juga galakkan semua penunggang tak kira motosikal dan basikal supaya memakai pakaian yang bersesuaian, seperti yang pantul cahaya,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian juga menggesa supaya ibu bapa dan orang ramai memantau anak-anak mereka yang mengubahsuai basikal kerana ia disifatkan juga satu masalah sosial dikalangan remaja masa kini.

“Ubahsuai basikal ini juga satu isu sosial dan kita minta orang ramai serta ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan keselamatan anak-anak kita,” ujarnya.

Tiong Lai juga menjelaskan pihak kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk meminda hukuman lebih berat ke atas pesalah jalan raya yang memandu secara melulu sehingga membahayakan nyawa orang lain.

“Buat masa ini pihak JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tidak ada usaha lagi untuk meminda akta tersebut kerana kemalangan maut kita sudah ada satu para iaitu hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tak lebih 10 tahun.

“Bagaimanapun, JPJ sentiasa berusaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

Pada 18 Februari lalu, negara dikejutkan dengan kemalangan tragis menimpa sekumpulan remaja berbasikal di Johor Bahru dimana lapan maut manakala lapan lagi cedera setelah dirempuh sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh dilapor sebagai berkata mereka antara 20 dan 30 remaja yang dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitarnya sebelum dirempuh seorang pemandu wanita.

Beliau berkata pemandu tersebut yang dari arah Taman Pelangi dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan remaja berkenaan. – MalaysiaGazette